Berpindah ke Perak Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim

Pada akhir tahun 1969, Meor Abdul Rahman mula menetap di Air Kuning Taiping Perak.

Tahun 1970 - an telah menyaksikan usaha penyatuan pemimpin tertinggi melayu dan kerajaan Seni SIlat Gayong yang di rancang sendiri oleh Dato' Meor Abdul Rahman. Raja - raja dan para pembesar melayu juga telah berkenan untuk menaungi pergerakan Seni Silat Gayong hampir die seluruh Tanah Melayu dan Brunei. Pada satu ketika 2/3 anggota kabinet negara Malaysia terdiri daripada ahli Silat Seni Gayong di bawah pimpinan Tun Abdul Razak bin Dato' Husein selaku Perdana Menteri dan Paduka Imam Khalifah Silat Seni Gayong. Pertubuhan Silat Seni Gayong terbukti menjadi pertubuhan senibela diri terbesar dan disegani ramai.

Pada tahun 1971, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Cora Si Manja Kini yang membawa gelaran Dato’ Paduka oleh KDYMM Sultan Idris Syah atas jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam tahun 1972, Dato' Meor Abdul Rahman diiringi Tuan Syed Idrus al - Haj, Siti Kalsom Meor Abdul Rahman, Ahmad Lazim dan Hussin Kalsan mengadap KDYMM Sultan Idris Syah untuk menyembah maklum amanah al - Marhum ayahanda baginda sultan. Baginda sultan pada masa yang sama berkenan untuk menjalani istiadat Perlimau Tapak dan menerima perlantikan sebagai penaung Agong Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau bergelar Sang Sa Purba. Dalam tahun yang sama, pada 17 hb September, murid Gayong seluruh Malaysia telah menyambut perayaan Hang Sang Sa Purba yang pertama. Perayaan ini disambut setiap tahun sehinggalah tahun 1982.

Tahun 1976 – Murid Silat Seni Gayong dianggarkan melebihi 150, 000 orang di seluruh negara.

Sehingga akhir tahun 1980 – an, tidak kurang juga tokoh dan pakar senibela asing datang melawat Dato’ Meor Abdul Rahman di Air Kuning dengan tujuan berkenalan, menuntut atau menguji kehandalan masing – masing. Semua cubaan dan dugaan tersebut berjaya diatasi dengan baik dan berkesan. Tidak kurang juga daripada pelawat tersebut yang memeluk Islam setelah berpeluang bertemu Dato’ Meor Abdul Rahman. Pada saat – saat akhir hayat beliau, Dato’ Meor Abdul Rahman sering berpesan agar murid – murid gayong kembali bergabung dan bersatupadu. Golongan muda – mudi di seru menuntut bersungguh – sungguh ilmu yang telah diperturunkan kerana ia amat berguna pada suatu masa nanti. Semua murid Gayong ialah pemegang amanah Silat Seni Gayong dan bertanggungjawab memelihara dan menjaga segala amanah beliau.

Pada tanggal 23 Jun 1991, Dato’ Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir atas pangkuan anakanda kesayangan dan pewaris beliau iaitu Puan Siti Fadzilah Dato' Meor Abdul Rahman (Waris Tunggal) di Hospital Pakar Ipoh, Perak.